Wednesday 14 December 2016

APA ITU KARYA INDIE
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sastera indie ini? Jika mahu dimaksudkan istilah indie kepada proses penghasilannya, iaitu menulis, menerbit dan memasarkan sendiri, istilah itu sebenarnya tidak begitu realistik dengan keadaan sebenar. Ini kerana rata-rata penulis indie ini tidak menerbitkan karya mereka sendiri, melainkan hanya segelintir yang melakukannya. Majoriti mereka masih menerbitkan di bawah label penerbitan orang lain.
Sastera indie mungkin lebih tepat jika dimaksudkan kepada suatu genre penulisan baharu yang tidak mempunyai sebarang bentuk yang jelas dan dikenali sebelum ini.( Azman Hussin) Bukan seperti cerpen, sajak, biografi, novel atau karangan ilmiah lain, seperti yang telah diterima umum sebelum ini. Kalaupun ia sebuah novel atau sajak, ia tidaklah seperti sajak yang umum kita ketahui seperti sebelum ini.
Boleh saja ia adalah daripada himpunan tulisan yang bermula di Facebook, blog dan Twitter. Ia tidak mempunyai suatu ciri-ciri penulisan yang tertentu. Ada yang bersifat sarkastik, memberontak, maki-hamun, jenaka, menentang establishment, catatan diari, nasihat agama, kata-kata pendek, catatan perjalanan dan sebagainya.
Majoriti penulisnya pula adalah muda belia yang selama ini ada yang tidak dikenali langsung. Pada masa dahulu orang yang sudah terkenal dalam bidang masing-masing yang menulis buku untuk kongsikan pengalaman dan pandangan hidup mereka, tetapi pada hari ini orang yang tidak dikenali menjadi terkenal kerana buku yang mencatat pandangan dan pengalaman hidup mereka.
Kerana ia ditulis dan diterbit secara bebas, karya-karya ini banyak yang “kesat”, luahan mentah, syok sendiri, merapu dan biadab. Ia luahan tanpa tapisan yang teliti. Perkiraan utama mereka mungkin adalah sama ada ia boleh dijual atau tidak. Ia ditulis lebih kepada memenuhi selera dan permintaan masyarakat.
Apakah yang mahu dirumuskan dengan karya-karya sebegini? Jika ditelusuri, karya-karya sebegini adalah produk daripada keadaan masyarakat. Jika masyarakat kacau-bilau, misalnya krisis politik atau kekacauan dalam memahami agama, perkara-perkara sebeginilah yang bermain dalam tulisan mereka. Ia bukanlah karya yang akan mengubah pemikiran masyarakat kepada pemikiran tertentu atau melahirkan jalan penyelesaian kepada permasalahan yang sedia ada.

Ia sebenarnya adalah produk dari keadaan masyarakat, suatu refleksi atau tindak balas sosial. Luahan-luahan golongan muda dan golongan yang selama ini tidak dapat menyatakan pandangan mereka kerana tiada medium untuk menyampaikannya. Ia adalah ekspresi diri mereka berkenaan sesuatu perkara. Ia adalah jeritan-jeritan manusia yang dibelasah oleh kehidupan dunia moden hari ini.


No comments:

Post a Comment