Wednesday 14 December 2016

HAZIRAH
241101 NOVEL 
  NOVEL KARYA INDI

PADA zaman kebebasan maklumat dan bersuara hari ini, masyarakat dunia semakin bebas meluahkan idea dan pandangan hidup mereka dalam sesuatu isu. Setiap orang boleh menjadi penulis dan menerbitkan tulisannya dengan lebih mudah berbanding zaman dahulu. Dalam dunia penulisan hari ini, sejenis penulisan baru yang digelar sastera atau penulisan indie telah menjadi seperti sebuah fenomena. Ramai penulis baru yang tidak dikenali telah muncul dan menjadi popular dengan buku-buku mereka.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sastera indie ini? Jika mahu dimaksudkan istilah indie kepada proses penghasilannya, iaitu menulis, menerbit dan memasarkan sendiri, istilah itu sebenarnya tidak begitu realistik dengan keadaan sebenar. Ini kerana rata-rata penulis indie ini tidak menerbitkan karya mereka sendiri, melainkan hanya segelintir yang melakukannya. Majoriti mereka masih menerbitkan di bawah label penerbitan orang lain.
Sastera indie mungkin lebih tepat jika dimaksudkan kepada suatu genre penulisan baharu yang tidak mempunyai sebarang bentuk yang jelas dan dikenali sebelum ini. Bukan seperti cerpen, sajak, biografi, novel atau karangan ilmiah lain, seperti yang telah diterima umum sebelum ini. Kalaupun ia sebuah novel atau sajak, ia tidaklah seperti sajak yang umum kita ketahui seperti sebelum ini.
Boleh saja ia adalah daripada himpunan tulisan yang bermula di Facebook, blog dan Twitter. Ia tidak mempunyai suatu ciri-ciri penulisan yang tertentu. Ada yang bersifat sarkastik, memberontak, maki-hamun, jenaka, menentang establishment, catatan diari, nasihat agama, kata-kata pendek, catatan perjalanan dan sebagainya.
Dengan kemudahan mencetak yang murah dan cara promosi yang meluas capaiannya, misalnya melalui media sosial seperti Facebook atau Twitter, kemunculan karya-karya yang dipanggil indie ini semakin mendominasi, bahkan menyaingi jualan dan populariti karya-karya arus perdana. Ia telah menjadi suatu fenomena semasa. Ramai penulis baru dikenali melalui cara ini. Tidak seperti dahulu, penulis biasanya bermula daripada akhbar dan majalah-majalah arus perdana.
Selama ini menerbitkan buku adalah perkara yang agak susah, melalui tapisan yang rumit dan memakan masa yang lama. Ia tertakluk kepada genre, polisi dan kualiti yang dikenakan oleh pihak penerbit. Hari ini semua ini dapat dilanggar dengan begitu mudah sahaja. Sesiapa sahaja boleh menulis dan menerbitkan buku jika mempunyai wang.
Majoriti penulisnya pula adalah muda belia yang selama ini ada yang tidak dikenali langsung. Pada masa dahulu orang yang sudah terkenal dalam bidang masing-masing yang menulis buku untuk kongsikan pengalaman dan pandangan hidup mereka, tetapi pada hari ini orang yang tidak dikenali menjadi terkenal kerana buku yang mencatat pandangan dan pengalaman hidup mereka.
Kerana ia ditulis dan diterbit secara bebas, karya-karya ini banyak yang “kesat”, luahan mentah, syok sendiri, merapu dan biadab. Ia luahan tanpa tapisan yang teliti. Perkiraan utama mereka mungkin adalah sama ada ia boleh dijual atau tidak. Ia ditulis lebih kepada memenuhi selera dan permintaan masyarakat.
Apakah yang mahu dirumuskan dengan karya-karya sebegini? Jika ditelusuri, karya-karya sebegini adalah produk daripada keadaan masyarakat. Jika masyarakat kacau-bilau, misalnya krisis politik atau kekacauan dalam memahami agama, perkara-perkara sebeginilah yang bermain dalam tulisan mereka. Ia bukanlah karya yang akan mengubah pemikiran masyarakat kepada pemikiran tertentu atau melahirkan jalan penyelesaian kepada permasalahan yang sedia ada.
Ia sebenarnya adalah produk dari keadaan masyarakat, suatu refleksi atau tindak balas sosial. Luahan-luahan golongan muda dan golongan yang selama ini tidak dapat menyatakan pandangan mereka kerana tiada medium untuk menyampaikannya. Ia adalah ekspresi diri mereka berkenaan sesuatu perkara. Ia adalah jeritan-jeritan manusia yang dibelasah oleh kehidupan dunia moden hari ini.
Adakah ia boleh dianggap seperti grafiti pada dinding, tembok bangunan ataupun tandas-tandas awam? Jika pada masa dahulu lakaran grafiti ditulis secara menyorok untuk meluahkan ketidakpuasan hati kerana perasaan malu dan takut dikenakan tindakan, hari ini ia telah dilakukan secara terbuka melalui penerbitan buku-buku. Seiring dengan dunia yang semakin bebas, ramai orang bebas bercakap dan meluahkan perasaan, makna nilai-nilai seni dan sastera tulisan-tulisan ini juga semakin kabur.

Bahkan seni berbahasa yang halus ini telah diganti dengan caci-maki, sumpah-seranah dan maki-hamun sebagai ekspresi diri kepada sesuatu yang tidak disukai mereka. Dahulu orang menyampaikan kemarahannya secara berkias, tetapi di dalam penulisan indie ini, ia lebih banyak disampaikan secara terang tanpa selindung. Tiada lagi seni dalam menyampaikan sesuatu pandangan, bahkan bahasa slanga yang kasar telah menjadi suatu seni kepada mereka seolah-olah siapa yang paling lantang dan keras bahasanya, dialah yang hebat.

No comments:

Post a Comment